Название | Tarian Bulan |
---|---|
Автор произведения | Amy Blankenship |
Жанр | Ужасы и Мистика |
Серия | |
Издательство | Ужасы и Мистика |
Год выпуска | 0 |
isbn | 9788835416401 |
Tidak lama kemudian Tabatha terpaksa berhenti seketika untuk menarik nafasnya. Dia bersandar pada sebatang pokok besar dan meletakkan tangan pada lututnya yang kotor, menghela nafas dan mendengar bunyi-bunyian yang ada di hutan itu. Sudah lama dia teringin untuk berdiri di tengah-tengah hutan dan hanya mendengar seperti yang puak Indian pernah lakukan dalam filem TV.
Awan hujan yang telah pergi tadi kembali semula dan cahaya bulan yang terang tiba-tiba hilang. Dia membuka matanya luas-luas apabila menyedari yang dia tidak lagi dapat melihat cahaya dari tapak perkhemahan.
Melangkah ke depan dengan penuh hati-hati, dia memandang liar ke kawasan sekitar tapi apa yang dilihatnya hanyalah kegelapan, batang pokok yang hampir tidak dapat lihat, dan bayang-bayang yang lebih gelap. Dia merengek apabila sesuatu mengaum tidak jauh di belakangnya. Mengambil keputusan yang dia tidak akan memandang ke arah itu, dia lari menyelematkan diri tanpa memandang ke belakang.
Selepas berlari jauh seperti tiada penghujungnya, Tabhata terdengar Scrappy menyalak lagi dan dia meluru ke arah bunyi itu dengan harapan apapun yang menderum tadi tidak mengejarnya. Dia mendengar satu lagi ngauman tapi kali ini ia datang dari hadapannya.
Dia menekan kuat pada tanah dengan tumitnya, cuba untuk menggelungsur ke satu hentian tetapi tanah di situ diliputi dengan daun-daun licin dan kotor akibat hujan. Dia bukannya berhenti, malah dia menggelungsur lebih jauh ke tepi sebelum jatuh menjunam ke cerun yang landai.
Nafasnya hampir terhenti apabila tubuhnya menghentam sebatang pokok tumbang yang menghentikannya daripada terus menggelungsur. Perkara pertama yang dia perasan selepas dia telah bertenang ialah Scrappy tidak menyalak lagi. Dia terdengar bunyi ngauman lagi dan mula untuk memanjat ke atas bukit semula apabila dia terdengar bunyi rengekan lembut. Sedaya upaya dia berdiri, dia mengintai di sebalik batang pokok itu dan ternampak satu kawasan lapang yang kecil di mana cahaya bulan menerangi kawasan itu.
Di situlah, tepat di tengah-tengah ialah Scrappy, melolong seperti baru sahaja dibelasah oleh anjing di hujung jalan di rumahnya. Anak anjing itu meniarap di tanah dan merangkak ke belakang. Mata biru Tabhata terbeliak bila dia melihat puncanya. Dua haiwan bergerak perlahan ke arah satu sama lain di kawasan lapang itu dan Scrappy betul-betul berada di tengah-tengah.
“Tolol,” Tabby mendesis perlahan.
Dia mengenali haiwan-haiwan itu daripada gambar-gambar yang pernah ditunjukkan oleh ayahnya sebelum mereka memulakan perjalanan. Satu daripadanya ialah kugar dan satu lagi dia mengenalinya daripada televisyen... seekor jaguar. Dia suka menonton rancangan berkaitan haiwan dan tidak berasa mual seperti ibunya apabila haiwan-haiwan di TV itu cuba untuk menyerang satu sama lain. Tapi kali ini berbeza... ianya benar dan menakutkan sedikit.
Kedua-duanya adalah kucing hutan yang boleh memakan manusia, dan juga bersaiz besar. Haiwan-haiwan yang penuh gaya itu mengelilingi satu sama lain, mengaum dengan suara garau dan mata mereka bersinar-sinar seperti kepingan emas. Bunyi yang sangat berbahaya itu dibawa angin, menyapa ke arah Tabatha yang terus memerhatikan mereka dengan perasaan germuruh.
“Mari sini Scrappy,” dia berbisik, berharap yang kucing–kucing besar itu tidak mendengarnya.. “Datang ke sini sebelum salah satu dari mereka memijak kamu.” Dia mahu katakan ‘makan kamu’ tapi dia tidak mahu menakutkan anak anjingnya yang kasihan itu lebih daripada apa yang ia rasa sekarang.
Kucing-kucing itu secara tiba-tiba menjerit membuatkan Tabatha memekup telinganya dengan tapak tangan kerana bunyi itu sangat kuat dan menakutkan. Merekea berlari dengan kelajuan tinggi merentasi kawasan itu, membuatkan Scrappy menyembunyikan ekornya diantara kakinya dan menjerit ketakutan.
Melihat anak anjingnya teramat takut, Tabby bergerak melalui rimbunan pepohon dan berlari ke arah Scrappy sepantas yang dia mampu. Dia berada lebih dekat dengan Scrappy berbanding kedua-dua kucing hutan itu dan segera melitupi tubuh kecil haiwan itu dengan tubuhnya sebaik sahaja kedua-dua haiwan itu melompat dan bertembung di udara betul-betul di atasnya.
“Tolong jangan apa-apakan anjing saya!” jeritnya.
Dia menjerit lagi apabila kuku tajam mereka mencakar lengannya dan satu lagi di belakangnya. Kucing-kucing itu jatuh betul-betul di belakangnya dengan bunyi seperti tetulang jatuh berdebap, mengaum dan menjerit ke arah satu sama lain. Dia kekal membongkok di atas Scrappy yang masih lagi menggeletar ketakutan dan merengek perlahan, tidak berani untuk melihat haiwan-haiwan itu berkelahi hanya beberapa kaki di belakangnya.
Tabatha takut untuk bergerak dan memeluk anjingnya sekuat yang mungkin. Matanya dipejam dan dia mula berbisik kepada Scrappy agar lari dan dapatkan bantuan, jika salah satu daripada kucing raksasa itu menangkapnya juga. Sesuatu yang basah dan hangat tersembur merentasi belakangnya tapi dia masih lagi tidak berganjak. Akhirnya, pertarungan itu berhenti dan dia cuba untuk mengintai di sebalik bahunya.
Dia mula menggigil dan menangis apabila dia melihat dua orang lelaki terbaring di belakangnya dengan darah di serata badan mereka. Perlahan-lahan Tabatha bangkit dari kedudukannya dengan Scrappy yang masih di tangan dan mula berjalan undur. Ke mana perginya kugar dan jaguar tadi? Adakah mereka menyerang dua orang lelaki ini kemudian melarikan diri? Mengapa lelaki-lelaki ini tiada seurat benang pun di badan mereka?
Nathaniel tiba-tiba membuka matanya dan menampakkan gigi taringnya kepada Tabhata.
Tabatha tersandung ke belakang dan hampir jatuh tapi cepat-cepat menyeimbangkan semula tubuhnya. Scrappy menjerit halus lagi apabila ngauman lelaki itu mirip kugar tadi dan berusaha untuk melepaskan diri dari tangan Tabby. Dia melarikan diri ke dalam hutan sambil melolong ketakutan.
Malachi tersentap-sentap sebaik darah memercik keluar dari dadanya. Dia membuka mulutnya dan menyebut satu perkataan, ditujukan ke arah gadis kecil itu.
“Lari!” suaranya berakhir dengan ngauman membingitkan daripada seekor jaguar.
Tabatha tidak berfikir panjang untuk patuh padanya. Dia memalingkan badannya dan lari daripada kawasan lapang itu, langsung tidak berani menoleh ke belakang. Dia tidak peduli ke arah mana dia pergi; asalkan dia dapat melarikan diri daripada lelaki-lekaki berlumuran darah yang menakutkan itu.
*****
“Terima kasih dan ini berita setempat. Malam ini sebuah keluarga tempatan ada sesuatu untuk diraikan. Anak perempuan mereka, Tabatha, akhirnya telah ditemui merayau-rayau tanpa arah dalam Taman Negara Angeles selepas dilaporkan hilang tiga hari yang lalu dari tapak perkhemahan berhampiran Tasik Kristal untuk mencari anjing keluarganya. Dikatakan anjing tersebut terlepas daripada tali cawaknya dan lari ke dalam hutan. Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dengan berani telah mengejar anjingnya dan tidak dijumpai sehinggalah pagi ini. Malangnya, angjingnya tidak ada bersamanya. Menurut pihak berkuasa tempatan, dia kini dirawat di Hospital Komuniti memulih dari kejutan, selepas terselamat daripada serangan kugar. Si Kecil Tabatha kerapkali memberitahu kepada renjer hutan tentang dua lelaki yang cedera di dalam hutan tetapi selepas pencarian menyeluruh di sekitar kawasan sehingga lima ribu kaki persegi, tiada apa yang telah ditemui. Kami akan melaporkan berita selanjutnya sejam dari sekarang.”
Bab 1
10 tahun kemudian…
Muzik yang bingit berdenyut secara berirama daripada kelab itu, papan tanda neon yang besar berwarna ungu itu bertukar warna seiiring dengan rentaknya. Cahaya itu memancarkan sinar yang menakutkan kepada bangunan yang bertentangan dengannya. Di atas bumbung bangunan itu, seorang lelaki berambut pendek perang keemasan, berdiri dengan satu kakinya memijak tepi bangunan. Dia membongkok ke hadapan, sebelah sikunya diletakkan di atas lututnya yang bengkok, sementara dia menikmati rokok yang menyala di tangannya.
Kane Tripp melentokkan kepalanya sedikit dan menyela rambut pendeknya yang bergaya pacak. Dia benci memotong rambutnya, rindu dengan panjangnya satu masa dulu. Dia masih ingat kelembutan rasa rambutnya mengusap belakang badannya. Diangkatnya putung rokok ke mulutnya, dia menghela sedalam-dalamnya mengetahui banyak perkara yang dirinduinya, seperti rokok yang