Название | Bayangan Cinta |
---|---|
Автор произведения | Dawn Brower |
Жанр | Исторические любовные романы |
Серия | |
Издательство | Исторические любовные романы |
Год выпуска | 0 |
isbn | 9788835425649 |
Contents
1. BAB 1
2. BAB 2
3. BAB 3
4. BAB 4
5. BAB 5
6. BAB 6
7. BAB 7
8. BAB 8
9. BAB 9
10. BAB 10
11. BAB 11
12. BAB 12
13. BAB 13
Ini adalah rekaan fiksyen. Nama, watak, tempat, dan insiden adalah hasil daripada imaginasi pengarang atau digunakan secara fiksyen, dan tidak ditafsirkan sebagai nyata. Sebarang persamaan akan tempat, organisasi, atau manusia, mahupun yang hidup ataupun yang mati, adalah kebetulan.
Hak cipta Vision of Love © 2020 Dawn Brower
Seni kulit buku dan suntingan oleh Victoria Miller
Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian daripada terbitan ini dalam apa-apa jua bentuk dengan apa-apa jua caranya mahupun secara elektronik ataupun cetak tanpa kebenaran bertulis, kecuali dalam petikan ringkas dalam ulasan.
Untuk keluargaku, tanpamu, mesti saya akan sudah kehabisan idea sejak dahulu lagi. Mungkin saya menjadi... teruk kadangkala, tapi saya sayangkan kamu.
Terima kasih kerana menyokong saya. Tiada apa yang boleh saya katakan untuk buktikan banyak mana saya hargai kamu.
Penghargaan
Di sini sepatutnya saya berterima kasih kepada penyunting dan artis kulit buku, Victoria Miller, dengan mendalam. Dia telah membantu saya lebih dari yang boleh saya katakan. Saya hargai segalanya yang telah dia lakukan dan dia telah mendorong saya untuk berusaha lagi... dan lagi. Ribuan terima kasih.
Juga kepada Elizabeth Evans. Terima kasih kerana sentiasa ada dengan saya dan menjadi sahabat saya. Kamu sangat bermakna bagi saya. Terima kasih sahaja tidak cukup, tapi ini sahaja yang saya mampu. Jadi, terima kasih sahabatku kerana menjadi diri kamu sendiri.
1
BAB 1
4 Mei 1951
Cuaca kelihatan lebih baik dari apa yang Lady Anya Montgomery harapkan. Dalam beberapa jam lagi, Pesta Britain akan bermula, dan Anya perlu memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Hidupnya bergantung akannya. Baiklah, itu mungkin sedikit keterlaluan. Atas bantuan ayahnya, seorang bangsawan di Parkdale, Anya kaya-raya, tetapi itu bukan bermaksud dia tidak mempunyai matlamat atau cita-cita sendiri. Dia sudah setahun bekerja di Institut Filem British sebagai pembantu salah seorang wanita yang bertugas. Anya juga telah mengambil beberapa kursus di Akademi Filem BFI. Dia berharap agar dia dapat mengarah dan menerbit sebuah filemnya sendiri suatu hari nanti…
Anya bergegas ke pejabatnya dengan secawan kopi untuk bosnya. Lady Vivian Kendall sedang menelefon sambil duduk di sudut mejanya. Dia menjeling ke arah Anya dan memanggilnya masuk. Rambut hitamnya disanggul di paras lehernya. Baju satin, jacquardnya yang berwarna kobalt kelihatan anggun, skirt penuhnya dan kain hitam di bawahnya memberikan sentuhan yang menarik. Dia turut memakai seutas tali pinggan hitam, berkasut tumit tinggi bertali T, dan bersarung tangan. Apabila dibandingkan, Anya merasakan dirinya kelihatan selekeh dengan skirt merah dan kemeja putihnya yang sederhana, dan kasut hitam berjenama Mary Jane. Dia ingin memakai pakaian yang selesa untuk menghadapi hari yang panjang. Nampaknya, Lady Vivian tidak tahu erti selesa dari segi praktikal.
“Lihat jika ia sudah dilakukan,” kata Lady Vivian ke dalam telefonnya. “Saya tak akan terima sebarang alasan. Kamu tahu kan betapa pentingnya pesta ini, dan kita tidak mampu untuk melakukan sebarang kesilapan. Cukuplah ia dipolitikkan lebih dari sepatutnya. Ini sepatutnya menjadi perayaan untuk segala perkara mengenai British.” Dia mengeluh. “Ini diperlukan. Peperangan itu panjang dan kejam. Sesuatu yang baik seperti acara ini akan menggembirakan dan memanfaatkan semua orang.”
Anya tidak tahu Lady Vivian sedang bercakap dengan siapa. Tetapi mereka semestinya telah menyampaikan berita buruk, dan dia harapkan perkara ini tidak akan menunda apa-apa mengenai pesta itu. Mereka semua telah bekerja keras untuk memastikan ia berjaya. Dia merenung tangannya dan cincin opal pemberian neneknya. Corak daun floral terbentuk di sisi logam perak dan mengelilingi opal bulat di bahagian atas. Ketika neneknya memberikan cincin itu kepadanya, dia diberitahu untuk mengikut kata hatinya. Dia menyimpan nasihat itu dalam mindanya ketika dia mula bekerja di Institut Filem British.
“Baiklah,” kata Lady Vivian. Suaranya penuh dengan kekecewaan. “Apa-apa beritahu saya. Saya akan ke tapak South Bank tidak lama lagi.” Dia meletakkan telefonnya dan mengalihkan perhatiannya ke arah Anya. “Tolong katakan yang itu kopi,” katanya lagi.
“Ya,” Anya menjawab dan menghulurkan cawan itu kepadanya. “Saya fikir Puan mungkin memerlukannya. Saya boleh dapatkan teh…”
Lady Vivian menggelengkan kepalanya. “Tak, kopi itu sempurna. Ibu saya seorang warga Amerika dan dia lebih sukakanya, jadi saya pun mula menghargai kedua-dua kopi dan teh.” Dia senyum. “Kamu dah bersedia untuk hari yang menarik tapi memenatkan?”
“Ya.” Anya senyum ke arahnya. “Saya akan ke Telekinema tidak lama lagi. Saya dah selesaikan segalanya disini. Ada apa-apa lagi yang perlu saya lakukan sebelum saya pergi?”
Dia menggelengkan kepalanya. “Tak. Saya akan pergi setelah saya habiskan kopi ini. Jumpa di sana, dan tolong suruh Ben cari saya dengan segera. Saya nak bincang tentang set pertama filem yang akan kita tayangkan di panggung wayang. Ada sedikit perubahan yang perlu dilakukan.”
“Baik.” Anya mengangguk. Apa yang telah berubah? Mereka telah bincangkan segalanya sejak berbulan yang lalu, dan bangunan-bangunan tidak didirikan dalam masa satu malam. “Saya akan beritahunya apabila saya tiba di Telekinema. Dia sepatutnya sedang mengurus filem yang pertama sekarang. Saya percaya itu bukan yang bakal berubah.”
“Bukan itu,” Lady Vivian memastikan. “Beberapa yang kemudian akan diubahsuai. Kita masih akan gunakan barisan yang sama, cuma ditayangkan dalam susunan yang berbeza dan pada hari yang berbeza. Malangnya, program-program sudah pun dicetak dan tidak boleh diubah. Kita akan pastikan ia ditampal di khemah supaya penonton tahu akan perubahan ini.”
Anya tiada apa-apa untuk ditambah, jadi dia hanya angguk dan berpaling untuk pergi. Sebaik dia tiba di pintu, Lady Vivian memanggilnya. “Tunggu.”
“Ya?”